Sunday 12 June 2016

PUASA DAN KESIHATAN

Menerobos keistimewaan bulan Ramadhan, tentunya banyak sekali pahala dan ganjaran bakal diperolehi bagi orang Islam yang berusaha untuk mendapatkannya.  Ibarat bonus yang datang bersama dengan pakej keistimewaan Ramadhan, puasa juga memberi impak kepada kesihatan tubuh badan. Bukan sekadar berlapar dahaga, tetapi tarbiyah dalam bulan puasa mampu menyediakan individu muslim yang peka dan berdisiplin terhadap budaya makan seharian.  Ramadhan menjadi madrasah terbaik untuk memulakan langkah menyeimbangkan tubuh badan mencapai kesihatan optimum.

Seorang pakar perubatan Arab bernama Al Harith Ibnu Kaladah pernah mengungkapkan, ‘perut merupakan sarang kepada penyakit, menahan diri itu adalah ubat kepada segala penyakit.' Justeru, puasa mendidik kita mengawal diri daripada mengambil makanan secara berlebihan kerana sikap itu akan mengundang masalah kepada kesihatan. Berpuasa mampu memberikan manfaat kesihatan sekiranya kita menjaga dan mengawal apa yang ingin dimasukkan ke dalam mulut. Selama 11 bulan sebelum ini, perut kita sentiasa penuh terisi dan menjalankan fungsinya tanpa henti. Tiba di bulan Ramadhan, perut direhatkan agar dapat membetulkan ketidakseimbangan dan membaikpulih sistem badan. Penyelengaraan ini diperlukan sepertimana sebuah enjin atau mesin yang perlu di servis setelah digunakan berulang kali. Ini  akan meningkatkan tahap kecekapannya. Begitu juga dengan perut, mekanisme penyelenggaraan ini diperlukan untuk proses penyingkiran dan pembersihan bahan-bahan bertoksik hasil daripada amalan pemakanan dan gaya hidup seseorang saban hari. Oleh itu, berpuasa mampu meningkatkan kecergasan dan keupayaan badan seseorang untuk mencapai mutu kesihatan yang terbaik.

Semasa berpuasa, badan tidak perlu mengeluarkan asid dan enzim untuk memproses makanan. Kesannya,  fungsi perkumuhan menjadi lebih efisen dan ini  membolehkan sel-sel badan memberikan tumpuan terhadap proses pembuangan toksin melalui membakaran lemak. Tidak hairanlah jika puasa juga mampu memberi manfaat kepada mereka yang menghadapi masalah obesiti. Inilah peluang yang perlu direbut selain keistimewaan-keistimewaan puasa yang lain. Bukan itu sahaja, bulan puasa mampu menjadi titik permulaan untuk membentuk dan mengembalikan corak pemakanan sihat dan seimbang melalui disiplin yang kental. Paling penting ialah cara bagaimana kita melihat puasa itu dari pelbagai dimensi dan bagaimana kita mengambil ibrah daripada roh Ramadhan  khususnya dalam konteks kesihatan. Akhirnya puasa akan meningkatkan kualiti kehidupan kita dan matlamat utamanya adalah mengabdikan diri kepada Allah.
     
Makanan yang baik dan seimbang diperlukan untuk kelangsungan hidup serta kesihatan tubuh badan. Makanan yang seimbang sahaja tidak mencukupi untuk tujuan tersebut malah kita juga perlu menjaga kuantiti makanan yang diambil. Semasa berpuasa di bulan Ramadhan, prinsip ini tidak harus diketepikan malah perlu menjadi panduan agar kita tidak tercicir daripada mendapat manfaat sebenar berpuasa di bulan Ramadhan khususnya dari sudut kesihatan.

Semasa berpuasa, kita perlu memastikan tubuh mendapat semua keperluan nutrient berpandukan piramid makanan di samping mengawal pengambilan kalori atau tenaga mengikut kesesuaian badan. Meskipun berpuasa, keperluan nutrisi bagi tubuh tetap sama dan perlu dipenuhi. Cuma yang membezakannya adalah jadual dan waktu makan. Namun, berpuasa mengajar kita berdisiplin untuk mematuhi waktu makan yang ditetapkan seperti berbuka pada waktu maghrib dan berakhir apabila menjelang subuh. Berbeza semasa tidak berpuasa, waktu makan seseorang hanyalah mengikut kehendak dan selera serta tidak mengikuti waktunya. Di samping membiasakan diri dengan waktu makan tertentu, puasa membentuk disiplin seseorang agar mengambil makanan pada kadar yang tertentu. Disarankan agar orang yang berpuasa mengambil makanan yang lengkap dan seimbang semasa berbuka dan bersahur untuk kecergasan yang berpanjangan. Di samping itu, pengambilan air kosong tanpa adalah salah satu cara yang efektif untuk memberi kesegaran dan menyingkirkan sisa toksik makanan dan lemak daripada tubuh. Makan secara sederhana dan tidak berlebih-lebihan akan memudahkan seseorang membuat ibadah pada malam hari. Bagi yang menghidapi penyakit moden seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi,berpuasa mampu mengurangkan risiko peningkatan masalah tersebut.

Walaupun puasa merupakan salah satu cara pencegahan dan pengubatan terbaik untuk mengelakkan sebarang penyakit terutamanya berkaitan perut namun, sekiranya tidak menjaga pengambilan makanan semasa berbuka dan bersahur, akan mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan. Justeru, setiap individu muslim juga diajar mengamalkan kesederhanaan sama ada dalam pengambilan makanan mahupun ketika memilih juadah. Sudah pasti ketika membeli makanan, kita akan cenderung untuk memilih makanan dengan lebih banyak kerana perut berada dalam keadaan lapar. Pada saat itu, kita bukan sahaja lapar perut tetapi juga lapar di mata. Semua makanan  nampak enak dan nikmat sekali. Pada ketika inilah, kesabaran orang yang berpuasa turut teruji.
Ramadhan sebenarnya mendidik dan mencorak keupayaan kita menahan ujian dengan kesabaran agar tidak tergugah dengan kenikmatan yang berada di depan mata. Malah, manfaat kesihatan daripada berpuasa itu sendiri akan terjejas sekiranya aras keinginan dan selera itu tidak dapat dikawal sewajarnya. Lantas, berbuka dengan bermacam-macam jenis makanan seolah-olah hanya mengisi kantung yang kosong dan sekadar untuk memenuhkannya. Di mana manfaat kesihatan yang akan dikutip? Sedangkan Rasulullah SAW bersabda," berpuasalah kamu, nescaya akan jadi sihat." Jika beginilah sikap kita terhadap pengambilan makanan, usahkan bonus kesihatan tubuh badan tidak dapat diraih malah madrasah ramadhan itu  tidak mampu mendidik jiwa kita dengan roh dan nilai Islam sebenar.
      

Imam Ahmad meriwayatkan, "Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga dan berapa ramai orang yang qiam (solat malam) tetapi ia tidak memperolehi apa-apa melainkan berjaga sahaja. Justeru, lapar dan dahaga bukanlah sekadar amalan ritual berpuasa tetapi ia mempunyai hikmah dan nikmat yang tersirat bagi mereka yang mahu mengejar dan merebut natijah ketaqwaan. Jika tidak, kita hanya mendapat  lapar dan dahaga pada siangnya dan kepenatan berjaga pada malamnya.
        
Oleh sebab itu, puasa di bulan Ramadhan dan makan dengan sekadarnya serta berdisiplin mengikut masa merupakan satu latihan. Ia juga merupakan langkah bijak yang mutlak serta wajar diamalkan dan dibiasakan biarpun setelah berlalunya Ramadhan. Biarlah Ramadhan ini menjadi satu titik permulaan kepada perubahan pemakanan yang sihat dan seimbang untuk menjadi individu muslim yang lebih baik dan produktif.